SURAT UNTUK ANGIN ep2

Ke hadapan encik Angin yang sentiasa diingati,

kali ini aku menulis lagi surat untuk kau kerana ada cerita yang ingin aku berkongsi.
Ya, memang cerita ini telah aku adukan pada tuhan dalam bicara doaku, 
namun fitrah manusia, perlukan juga seseorang untuk menjadi teman pendengar dan pembaca.
Cerita ini bermula lebih kurang 3 minggu sebelum kejadian yang telah mengejutkan semua insan terdekat aku.
Moga segala perkongsian dapat menjadi pedoman.

Semenjak dua menjak ini, mata kiri aku sentiasa berkedip. Kadang kedipannya perlahan, kadang juga terlalu pantas hingga mengganggu konsentrasi pemandangan.
Mula-mula mahu di biarkan, malas mahu melayan kata-kata orang dulu bahawa kadang kala itu petanda buruk. Namun ingat lagi pada pagi Jumaat 2/10/15 saat aku sedang duduk bersama seorang senior yang merupakan sahabat aku juga, tiba-tiba mulut terasa ingin bertanya, sekadar saja-saja. 
" Kak jannah, apa tanda ye kalau mata kiri kita asyik berkedip?"
Kak jannah, merupakan senior yang aku sayang dan paling percaya untuk berkongsi segala cerita. Malah dia juga merupakan bekas graduan Darul Quran, memberi balasan dengan melopongkan mulutnya sambil membesarkan anak mata. Tiada kata darinya, hanya ekspresi begitu sebagau jawapan dan disambut dengan senyumnya.

Aku pun tak faham, sebab pada mulanya aku memafhumkan dari riak wajahnya sebagai.. "Mungkin aku akan berhadapan dengan kematian, mungkin aku yang akan mati", Sebab aku pernah 'terdengar' dari cerita2 bahawa itu petandanya jika mata kiri asyik berkedip. namun setelah Kak Jannah melemparkan senyuman, aku jadi keliru, sama ada dia main-main atau senyuman itu untuk mententeramkan aku. Dan kejadian itu berlalu tanpa aku terlalu ambil kira.

13/10/15 . 10.12 pagi
Seperti biasa, pagi selasa aku disibukkan dengan kerja-kerja di workshop. lebih-lebih lagi minggu ni kami perlu ke Kuantan untuk site visit, jadi banyak persiapan perlu diperkemaskan lagi.
Sedang aku menunggu giliran untuk consult dengan pensyarah aku, 
satu mesej dari whatsapp Family JuramiRukijah masuk.

"Betul ke Tapa meninggal?, Salah dengar ke ?" - send by Wak Ani
Aku kaget, lebih kepada rasa "offended", saja ke apa Wak Ani ni?
Setahu aku Cik Tapa masih di Medan atas urusan kerja.
Malas mahu melayan, dan pula giliran aku dah tiba untuk consult, 
terus aku letak phone di dalam beg.
20 minit kemudian...
Setelah selesai consult, aku ambil kembali phone.
Notification Whatsapp dah berderet, dan ada 5 miss call dari ayah dan ibu.
Aku lantas membaca mesej2 dalam group whatsapp.

"Baru call, tengah urus"
" Kata pengarah Kemas, yang pergi Medan sama bagitahu,dia pengsan terus"
"Oh, betul lah"
Tapi hati tak nak mengiyakan.. sampailah saat satu mesej dari insan yang aku percaya. 
" Betul" - Ibu tercinta
Ringkas. Tapi sudah mampu membuatkan aku mula terpana. Ya, tak kan lah ibu mahu menipu sedangkan ini berita kematian adik kesayangannya.
Aku blurr,Sungguh, Sampai tiada air mata pun menitik.
Terus aku menelefon ayah semula, Dan jawapan sama dari ayah,
Aku ambil keputusan balik dengan sepupu aku terlebih dulu. Memang aku ada seorang sepupu yang belajar sama di UIA. Dia pun amat terkejut dengan berita ini. Jadi kami berjanji nak balik sama lepas kelas UNGS aku habis lebih kurang jam 3.30.. 

Setelah itu, tangan aku mula mengemas barang2 di atas meja. Langsung tiada perasaan. 
Masih sempat berbincang sedikit berkenaan kerja-kerja di site nanti. 
Kosong.
Begitulah aku saat itu,
Tapi kaki terus melangkah keluar dari kelas, nasib baik waktu itu pensyarah aku dah keluar kelas.
Aku jalan menonong, 
Apa yang berlaku ni?
kaki terus melangkah, perasaan terus menafikan.
Sampailah saat tiba-tiba aku tersedar.
"Hey,, Ain!, Pakcik kau dah tak ada, pakcik kesayangan kau, Cik Tapa yang banyak tolong kau saat memerlukan, Dia dah tak ada. "
Dush! Tersentak dengan bunyi deruman Bas rapid KL.
Saat itu juga air mata yang tadinya hilang entah kemana, jatuh umpama air sungai deras.
Orang yang lalu berhadapan dengan aku tidak aku kisah.
Aku dah tenggelam dalam lemas air mata sendiri. 
Nasib baik kaki masih lagi kuat menapak.

Sampai di Mahallah, sendu air mata kurang sedikit, mungkin dek malu nanti orang lain nampak.
Umpama memahami perasaan, lagu nasyid di corong speaker Mahallah memperdengarkan aku dengan zikir-zikir syahdu. Allahu.. apakah ini semua? Adakah kau cuba memberi peringatan untuk aku ingatkan Kau di saat ini?

Umpama zombie, aku makan tapi tak berasa, aku kemas baju untuk di bawa, tapi tak tahu kenapa. Tangan seperti bergerak sendiri sedangkan hati tak berhenti menafi.
Waktu zohor sudah masuk, Seusai solat aku mencapai Al-Quran mini biru kesayangan. Memang aku cuba menjadikan dia teman kesayangan, dan masih berusaha sedaya ada.

Ayat pertama dari Surah Al-Isra'.
" Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya(Muhammad) pada suatu malam dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat"

Terus, air mata merembes keluar kembali, Allah seakan tahu perasaan aku. 
MEMANG Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Aku teringat kisah yang dikongsi oleh seorang sahabat ketika di sekolah sewaktu tazkirah maghrib di surau. Katanya, perjalanan Isra' dan Mikraj ini bukti kasih Allah kepada Muhammad. Kerana ketika itu Nabi Muhammad sedang amat berduka cita dek baru sahaja kematian isteri tercinta ,Khadijah dan juga bapa saudaranya Abu Thalib. Sehingga tahun itu digelar 'tahun dukacita'.
Bagi memujuk hati Rasulullah, Allah telah memberi peluang kepada baginda untuk bertemu Allah sekaligus menjadi titik tolak bermulanya perintah solat 5 waktu dari Allah.
Peristiwa ini dikisahkan oleh para alim ulama sebagai pujukan dari Allah kepada kekasihNya.

Allahurabbi, satu das terkena pada aku.
Mungkin Allah beri aku peringatan agar menerima segala takdirnya.

14/10/15
Semalam jam 5 petang, aku bersama sepupu sampai di kampung. Tak banyak dapat dilakukan sebabnya kami masih menunggu jenazah dari Medan. Katanya jam 9 pagi akan dibawa menaiki Kargo MAS. Maghrib semalam, rakan sekerja Cik Tapa datang ke rumah, Bawa bersama beg pakaian yang sebenarnya penuh dengan kain-kain pasang hadiah untuk kakak-kakaknya yang 9 orang beserta emping belinjo kesukaan Cik Tapa. Dan masa itulah, cerita asbab kematian Cik Tapa dikongsi, 

Kata mereka, malam sebelum arwah meninggal, masih elok mereka bersembang, cumanya Cik Tapa terus masuk hotel walaupun ada sesetengah mereka masih mahu keluar untuk beli buah tangan sebelum balik Malaysia esok(iaitu hari Selasa kami dapat berita kematiannya). Keesokan paginya, saat semua sedang berkemas untuk ke airport, Cik Tapa masih lagi tidur, dikejutkan oleh rakan sebilik. Tapi tiada respond, mereka sangka Cik Tapa pengsan sebab pernah terjadi waktu Cik Tapa di Bandung dulu. Tapi setelah diurut dan tiada respond, mereka terus menelefon ambulance, Dan dari situlah mereka tahu, yang Cik Tapa sudah djemput Ilahi.

To be honest, aku masih tak mahu percaya sampailah aku lihat sendiri jenazah. Mana mungkin pakcik yang berusia 37 tahun malah paling bongsu dalam keluarga sudah meninggal? Mana mungkin pakcik yang baru 2 minggu lepas aku pijak belakang badannya untuk sesi urut 1 minit yang aku dah biasa buat kepadanya sejak dari zaman darjah, sudah tiada? Apa bukti? Mana jenazahnya?

Aku masih menafikan, walaupun semua makcik aku, ibu dan yang lain dah mula menceritakan kebaikan pakcik aku. masing2 mula membongkar segala jasa pakcik aku dalam keluarga. Aku? Tak terluah semua jasanya pada aku. Memang banyak. tapi tiada perkataan mampu coretkan saat itu. Cuma satu aku kata, " Cik tapa saat meninggal pun tak nak susahkan orang, tengoklah, jenazah sampai dirumah saat semua orang memang cuti. iaitu cuti 1 Muharram."

Jam 12.35 tengah hari.
Sebenarnya, kami dapat update perjalanan jenazah ke sini. sememangnya, urusan perjalanan jenazah ke Malaysia dibantu sendiri oleh Pengarah KEMAS negeri Selangor. Jadi, mereka sering update pergerakan mereka disertai dengan gambar. Gambar apa? Gambar keranda, gambar van yang membawa keranda.

Sejak pagi lagi sudah ramai yang datang ke kampung, semua adik beradik dah berkumpul, saudara mara jauh juga ramai yang menunggu. Iyelah, memang hari ini cuti. Aku kadangkala membaca al-quran. tapi lebih sering aku bermain dengan anak saudara aku si Ummu Salamah. Hanya bermain dengannya aku jadi tenang, adalah sedikit senyum dan ketawa kecil mampu ku ukir.

Azan Zohor sudah berkumandang, aku ambil peluang solat dulu sementara yang lain sibuk menunggu jenazah. Selepas memberi salam, suasana di rumah seakan hingar-bingar. Ya, pastinya jenazah dah sampai di perkarangan rumah. Sedang cuba melipat kain telekung, aku lihat Kak Dila(sepupu aku) masuk bilik dengan mata merah. Nah, terus aku campak telekung di tepi dan keluar untuk melihat.

MasyaAllah, ramainya di luar. Makcik2 aku semuanya dah tersedu sedan.
'Siapa lagi yang belum tengok?' aku tanya sepupu-sepupu aku.
Dan Kak Farah(mummy Ummu Salamah) pun datang kepada aku. Lantas aku tarik tangannya untuk bersama gerombolan wanita lain yang sedang 'seakan tawaf' di sekeliling keranda.

Aku melangkah sedikit, kelihatan keranda berwarna coklat. Aku berhenti.
"Kak farah nak teruskan tengok ke?"
Aku tanya Kak Farah dan dia mengangguk.
Terus aku genggam tangannya dan ikut bersama arus jemaah wanita di situ.

.....
...........................

Rambut tersisir rapi,kemas dan hitam, seperti kebiasaan Cik Tapa waktu pagi sebelum ke kerja.
Saiz badan yang sama, Raut wajah yang sama.
Tapi tak semestinya sama adalah serupa.

Kali ini, jasad itu yang pernah aku cium tangannya hanya terbujur senyap di dalam keranda.
Badannya yang besar hanya kaku. kain kafan dah menyelimuti seluruh tubuhnya.
Bau minyak wangi dahulu yang semerbak sebelum ke tempat kerja digantikan dengan bau wangi yang lain, iaitu bau seperti kebiasaan jenazah yang dimandikan.
Perkara lain dah tak mampu aku luahkan, saat tangan ini menaip, ada rasa sesak dalam dada.

Cuma yang aku ingat, aku genggam kuat tangan kak Farah sebab ternyata, kak Farah lebih tergamam, dan menangis lebih teruk dari aku. Terasa lemahnya kaki kak Farah sehingga memaksa aku memimpinnya berjalan lebih laju. Mana tidaknya, Kak farah memang lebih rapat dengan Cik Tapa, Aku hanya baru 2 tahun ini merasakan lebih akrab dengan Cik Tapa, sebabnya selama ini aku sibuk di sekolah asrama di Pahang dan Melaka, Semenjak aku belajar di area Kuala Lumpur lah, aku sering meminta tolong padanya. Tolong ambil di airport, tolong hantar ke sana, ambil di sini. Macam2. Jadi tak hairanlah kalau Kak Farah lebih merasai pemergiannya sebab sejak dari kecil Cik Tapa dah pernah duduk di rumahnya dulu sementara tunggu result SPM sehinggalah Cik Tapa dapat kerja pertamanya. Entah, aku pun kurang faham jalan ceritanya, tapi yang pasti memang keluarga Kak Farah(Cik Pie dan Cik Ap) antara yang rapat dengan Cik Tapa. Tambahan pula, mereka baru  lebih kurang 4 tahun ini duduk di Indah Perdana iaitu perumahan baru di kawasan Kg. Endah (dahulunya kawasan tu ialah kawasan tanah pusaka penduduk Kg. Endah). Dan memang hanya Cik Tapa beserta 2 orang makcik kembar yang tinggal di rumah pusaka di Kg. Endah.

Jadi, memang benarlah Cik Tapa dah tiada. Sebenarnya, akal dah mula percaya saat ibu tulis dalam whatsapp lagi, tapi hati degil ini yang tak mahu mengiyakan.
Saat keranda diangkat masuk ke liang lahad, dah tiada air mata keluar. Hati perlahan-lahan tunduk pada ketentuan Illahi. Talkin dibaca.
Pakcik yang baik hati, penyayang, ambil berat, pendamai masalah keluarga, suka belanja makan, suka buat lawak hambar, suka bajet ada 6th sense sebab tahu je semua benda yang anak buah dia tengah buat, suka makan emping (sampai ke Padang haritu pun dia kirim emping, padahal beg anak buah dia ni kecik je, nasib baik ada rezeki jumpa kat area pasar Atas), suka salam lepastu geletek tangan anak buah dia, suka bawak kereta laju-laju then brek mengejut acah2 racer, suka travel dan dah janji nak bawak Ain pergi jalan negara orang putih sebab Ain pandai speaking London.. 
dan.. dan.. dan..
Yang pasti, Cik tapa insan yang aku tak rasa bersalah nak minta tolong sebab aku tahu, selagi mampu dia akan tolong insan disekelilingnya. Malah rakan pejabat pun amat menyenanginya. Cuma aku yang tak sempat membalas jasanya.
Lihatlah, di pengakhiran hidupnya, Allah mudahkan. Padahal mengikut pengalaman kawan ibu, jenazah yang meninggal di luar negara terutamanya di Indonesia mengambil masa 3 hari paling sekejap untuk sampai semula ke Malaysia. Mungkin ini balasan dari kebaikan yang cik tapa dah buat. Siapa sanggup menjaga 2 orang kakak kembar bujang yang kadang-kadang sakit sedangkan dirinya juga masih bujang. Disuruh berkahwin asyik menolak, dengan pelbagai alasan. tapi aku tahu, mungkin salah satunya sebab dia risau, kalau dia kahwin, siapa mahu jaga 2 orang kakaknya di kampung. Kini kami telah kehilangan BAYMAX kesayangan kami. Tapi semua ini sudah ketentuan Allah. Terima kasih Cik Tapa sepanjang 37 tahun menjadi pakcik yang begitu baik buat kami. Semalam genap seminggu arwah tiada. 
Kami masih cuba bina semangat baru. Al-Fatihah.

 Ummu Salamah, asyik dengar bacaan asma ul-husna di you tube je.. good girl, may you be a good muslimah one day.





Encik Angin, terima kasih kerana sudi mendengar cerita ini, biar jasad tiada dekat, tapi coretan hati menjadi pengikat. Banyak perkara aku belajar dari peristiwa ini. Baru aku tahu perasaan seseorang yang kehilangan insan tercinta. Baru aku tahu, insan yang kehilangan ini memerlukan seseorang yang mengambil berat tentangnya saat diri berasa lemah. Tanyalah mereka, dengarlah cerita mereka. jangan bersangka bahawa jika kita bertanya perihal kematian yang berlaku akan menambah kedukaannya, tapi, pertanyaan simple itu lah yang mampu mengubat hati. Mereka akan merasakan sebuah pengharapan. Bukan mahu menyalahkan rakan lain kerana seakan tak mahu bertanya perkhabaran aku, aku faham, mungkin kerana kalian tak pernah menghadapi kematian insan terdekat. Dari peristiwa ini juga aku sedar, aku perlu lebih bersedia selepas ini. Bersedia untuk menerima kemungkinan kehilangan insan seterusnya, kerna kita hanya manusia, kepada Allah kita kembali.Maka saat ini, memang hati asyik teringat pada Encik Angin supaya setelah lepas semua cerita, dapat kau bawa ia terbang ke tempat lain. Namun, bukan untuk terus melupakan, cuma perlukan udara dan semangat baru untuk bernafas. Jadi ada sebab aku memilih menceritakan perihal ini kepada encik Angin,walaupun selalunya cerita begini lebih selesa untuk aku coretkan di diari. Supaya aku ingat, aku pernah ada seorang pakcik yang belum sempat aku balas jasanya dan tak akan sempat.dan bawalah perasaan hiba ini pergi terbang bersama encik Angin bersama-sama jerebu yang makin kuat melanda ini.







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kad Diskaun Pelajar untuk KTM & LRT

Hotel di Hokkaido lebih mesra muslim berbanding di Malaysia?

Tunggu sekejap wahai kasih ~